Followers

Saturday, January 01, 2011

~Maizawati Patah Tangan~

*Sumber hmetro

IPOH: “Sejurus kemalangan, Maizawati tidak sedarkan diri dan saya bimbangkan keselamatan kandungannya serta anak-anak tiri.

“Pada masa itu, saya berdoa semoga zuriat kami tidak mengalami masalah. Namun, sebaik doktor memaklumkan kandungan itu selamat, saya orang paling gembira,” kata Mohd Yassin Ben@Abdul Rahim, 23, suami Maizawati Zainal, 35, selepas kereta yang dipandu isterinya itu bertembung sebuah kereta lain, Selasa lalu.


Menurutnya, ketiga-tiga anak tirinya ketika itu tidur di tempat duduk belakang dan dia sempat menahan mereka daripada terhentak pada kerusi depan sejurus rempuhan.

Dalam kejadian jam 5.15 pagi di Jalan Sultan Azlan Shah di sini berdekatan Sekolah Menengah Agama Izuddin Shah itu, Proton Gen.2 dipandu Maizawati merempuh sebuah kereta lain yang tiba-tiba membuat pusingan U.


Berikutan itu, Maizawati patah tangan kiri dan cedera ringan kedua-dua kaki serta bengkak di kepala manakala suaminya serta tiga anak cedera ringan.


Ketika kejadian, Maizawati, bekas isteri penceramah bebas, Akhil Hayy memandu kereta yang dinaiki bersama Mohd Yassin serta tiga anak, Siti Nur Maisarah, 13, Muhamad Shakir Hidayahtullah, 9 dan Muhamad Syafrin Hidayahtullah, 3.

Sementara itu, Maizawati ketika ditemui di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, semalam, berkata: “Doktor yang merawat saya mulanya tidak mengetahui saya hamil kerana kandungan tidak begitu kelihatan biarpun mencecah lima bulan. “Namun, sebaik dimaklumkan, doktor mengesahkan uri mengalami pendarahan kecil selepas ujian imbasan dilakukan.


“Ketika itu, suami orang yang paling gelabah kerana kandungan ini zuriat pertama saya bersamanya. Bagaimanapun, doktor mengesahkan kandungan tidak mengalami masalah dan doktor kini masih melakukan pemantauan,” katanya

Menurutnya, ketika kejadian dia bersama keluarga dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Utama, Bercham selepas menghantar rakan suami di Stesen Bas Medan Gopeng yang mahu menaiki bas ke Singapura.


Katanya, dia bersyukur kerana doktor mengesahkan kandungannya selamat biarpun berlaku hentakan kuat di perutnya.


“Saya paling bimbangkan kandungan ini. Suami paling gelisah sejurus kemalangan, tetapi kini lega kerana kandungan disahkan selamat.


“Saya baru selesai menjalani pembedahan di tangan petang tadi (semalam) selain terpaksa menerima beberapa jahitan di kedua-dua kaki,” katanya Katanya, dia terkejut sebaik dimaklumkan uri mengalami pendarahan kecil, namun selepas diperiksa, doktor pakar sakit puan mengesahkan kandungannya tidak menghadapi masalah, sekali gus membuatkannya kembali ceria.


“Menurut doktor, pendarahan kecil itu tidak menjejaskan kandungan, tetapi jika pendarahan terus berlaku, mungkin memberi kesan kepada kandungan,” katanya.


Menurutnya, Akhil Hayy sudah dimaklumkan kemalangan itu dan beberapa ahli keluarga bekas suami juga menziarahinya di hospital selepas kemalangan itu.


Nama Maizawati mula mendapat perhatian media apabila membuat pendedahan terbuka menerusi program televisyen mengenai masalah rumah tangga yang dibina bersama Akhil, 40, Mei tahun lalu.


Pasangan itu bercerai pada 15 Julai tahun sama selepas Akhil melafazkan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh.


Selepas setahun bercerai, Maizawati kembali mendirikan rumah tangga kali ketiga bersama Mohd Yassin pada 9 Ogos lalu dan kini menunggu cahaya mata pertama bersama pemuda kelahiran Kota Kinabalu itu.


0 Komen Sahabat Saya:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails