Followers

Friday, January 07, 2011

~Gile Kejam Punya Orang~

*sumber hmetro

AMPANG: Seorang janda maut disyaki dihumban dari tingkat 10 Kondominium Bukit Pandan, Pandan Perdana, di sini, selepas bertengkar dengan kekasihnya, awal pagi semalam.

Wanita berusia 28 tahun itu mati di tempat kejadian akibat parah pada seluruh badan. Mayatnya ditemui dalam keadaan terbaring di tempat letak kereta kondominium berkenaan, jam 3.10 pagi.

Mayat mangsa ditemui seorang pengawal keselamatan sebelum melaporkan kepada polis.

Berdasarkan siasatan awal, mangsa bekerja sebagai kerani dan tinggal di Setapak Jaya, Sentul.


Difahamkan, mangsa, Lai Puai Sern, 28, yang bercerai tiga tahun lalu mempunyai dua anak perempuan berusia enam dan lapan tahun. Bagaimanapun, kedua-dua anak mangsa kini dijaga bekas suami.


Seorang ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata, Lai menjalin hubungan cinta dengan seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun selepas bercerai.

Dia yang ditemui di luar perkarangan Bilik Mayat Pusat Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (PPHUKM) berkata, mangsa pergi ke kondominium berkenaan untuk bertemu kekasihnya itu, awal pagi semalam.

“Mangsa yang ditemani seorang rakan naik ke tingkat atas kondominium itu bersendirian, manakala rakannya hanya menunggu di dalam kereta. Bagaimanapun, tidak lama kemudian mangsa ditemui jatuh berlumuran darah,” katanya.

Menurutnya, mangsa sebelum ini pernah mengadu menghadapi masalah dengan kekasihnya berikutan hubungan cinta itu dihalang keluarga teman lelakinya.

“Malah, mangsa sebelum ini turut memadamkan semua SMS dihantar kekasihnya berikutan kecewa dengan apa yang berlaku. Bagaimanapun, kami terkejut kerana mangsa ditemui mati dalam keadaan tragis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin yang dihubungi mengesahkan penemuan mayat wanita itu yang ditemui terjatuh dari kondominium berkenaan.

Menurutnya, polis tidak menolak andaian mangsa dicampak dari kondominium itu berpunca daripada pertengkaran dengan individu yang dikenali.

“Berdasarkan siasatan, ada penduduk mendakwa mendengar bunyi pertengkaran dari tingkat atas kondominium berkenaan. Polis sudah mengenal pasti identiti lelaki yang mempunyai hubungan dengan mangsa dan tindakan lanjut akan diambil,” katanya.

Ditanya sama ada kematian mangsa berunsurkan kes pembunuhan, beliau bagaimanapun enggan mendedahkan perkara itu sehingga siasatan lengkap dilakukan.


1 Komen Sahabat Saya:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails