Followers

Tuesday, February 01, 2011

~Hakim Nafi Khalwat~

DIDAKWA...Adam dan Nurul keluar dari Mahkamah Rendah Syariah Georgetown, semalam.


GEORGETOWN: Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang, Adam Tumiran, 43, dan pasangannya Nurul Izani Md Isa, 34, mengaku tidak bersalah atas tuduhan berkhalwat, 5 Disember lalu.

Pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh, dibaca di hadapan Hakim Mahkamah Rendah Syariah Georgetown, Nik Bukhari Hashimy Nik Yahya, sebelum Adam dan Nurul Izani memohon dibicarakan.

Adam dan Nurul Izani dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah nombor 18B, Kuarters Kerajaan Negeri, Jalan Masjid Negeri di sini, kira-kira jam 2.05 pagi, pada hari berkenaan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 27 (a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Pulau Pinang yang boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, jika didapati bersalah.


Nik Bukhari menetapkan 22 Februari ini untuk sebutan semula kes, manakala tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM2,000 setiap seorang dengan seorang penjamin bermastautin di negeri itu.


Pendakwaan dilakukan Ketua Pendakwa Syariah, Mohd Zulkhairi Aziz, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Ahmad Munawir Abd Aziz dan Wan Faridul Hadi Md Yusof.

Dalam prosiding, Mohd Zulhairi memohon kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Syariah kerana kes itu membabitkan pegawai kanan perundangan dan bertujuan bertindak adil kepada semua pihak terbabit.

“Dalam kes ini, akan timbul isu perundangan luar biasa yang memerlukan penafsiran undang-undang lebih mendalam,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Munawir memohon pihaknya diberi peluang mengemukakan hujahan balas berhubung isu memindahkan kes itu kerana Mahkamah Rendah Syariah perlu mendengar hujahan kedua-dua pihak sebelum memutuskan memindahkan kes itu.

“Selepas mahkamah berpuas hati, baru keputusan boleh dibuat bagi menjaga hak tertuduh,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan seorang hakim Mahkamah Tinggi Syariah ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) kerana disyaki bersekedudukan dengan seorang wanita di kuarters kerajaan, kira-kira jam 2 pagi, 5 Disember lalu.


*sumber hmetro

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails